Shiroi Haru (White Spring)

Ada tiga jenis bapa yang ditonjolkan di dalam drama ini. Pertama, seorang bapa yang meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Dia meninggalkan anaknya sejak kecil demi kepentingan diri sendiri.

Kedua, seorang bapa yang berusaha menjadi bapa yang terbaik dan menunaikan segala tanggunjawabnya. Namun begitu, dia sebenarnya sedang menyempurnakan tugas orang lain kerana dia bukanlah bapa yang sebenar.

Ketiga, seorang bapa yang tidak dapat untuk menjadi seorang bapa kerana kesilapannya yang lalu tetapi dia ingin sekali menebus kesilapannya.

Persamaan bagi ketiga-ketiga mereka, semuanya tidak sempurna. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Perbezaan bagi setiap daripada mereka ialah sejauh mana mereka bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Saya sangat mengagumi drama ini dari segi teknik penyampaian mesejnya kepada penonton dengan menggambarkan kasih sayang seorang bapa kepada anak mereka.

Barangkali memang sifat semulajadi seorang lelaki atau spesifiknya seorang bapa, iaitu cara mereka melahirkan kasih sayang mereka bukanlah melalui kata-kata. Kasih sayang dilahirkan melalui tingkah laku dan perbuatan mereka.

Drama ini berjaya memvisualkan isu ini dengan baik sekali. Perjalanan yang bernada melankolik melengkapkan kehadiran emosi dan perasaan untuk turut sama menyelami jiwa watak utama dalam menghadapi suasana kehidupan yang sangat berlawanan daripada kehidupan asalnya.

Asalnya, dia (Sakura Haruo), seorang yakuza yang pernah dihukum penjara selama sembilan tahun kerana membunuh, berhati keras dan penuh ego, bertemu dengan keluarga seorang pembuat roti dan mengenali seorang budak kecil yang bernama Murakami Sachi, lalu interaksinya dengan keluarga itu dan terutamanya budak kecil itu menyebabkan pekertinya berubah.

Hatinya menjadi putih kerana telah dibentuk semula oleh kasih sayang dan nostalgia kenangan. Penilaian saya ialah drama ini sangat baik dan penuh dengan unsur-unsur positif yang penting untuk kita memahami dunia ini dan harus dicedok untuk diamalkan dalam kehidupan.

Comments Off on Shiroi Haru (White Spring)

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.