HIMPUN…

Saya sekadar ingin membuat analisis ringkas. Tidak bermaksud analisis ini tepat.

1.  HIMPUN sekadar permulaan bukan penyelesaian.

2. HIMPUN telah menghimpunkan pemimpin-pemimpin organisasi di dalam satu acara. Perhimpunan terbesar setakat ini yang melibatkan organisasi-organisasi Muslim.

3. Pertemuan ini ialah langkah awal jalinan kerjasama dan persefahaman antara pemimpin utama masyarakat. Hala tuju masyarakat ditentukan oleh para pemimpin ini.

4. Kehadiran lebih kurang 5000 orang (Malaysiakini). Kehadiran ini melibatkan seluruh negara. Bukan hanya Shah Alam. Sedangkan populasi Shah Alam sahaja ialah 646, 890 (wikipedia). Nisbah yang sangat kecil kalau dibandingkan kehadiran dengan penduduk Shah Alam sendiri.

5. Hadir tidak semestinya sensitif dan prihatin, barangkali kehadirannya kerana ikut-ikutan atau punya kepentingan. Tidak hadir tidak bermaksud tidak sensitif, barangkali tidak berkesempatan.

6. Pengikut laman Twitter HIMPUN tidak mencapai 400 orang. Peminat laman Facebook HIMPUN tidak lebih 10 500. Cuba banding dengan laman Twitter dan Facebook lain.

7. Saya sengaja menarik perhatian pada nombor, kerana nombor menunjukkan kuantiti. Nombor juga menunjukkan prestasi.

8. Kemungkinan nombor yang saya paparkan tidak tepat, tetapi kita boleh gunakan sebagai anggaran kasar kadar sensitiviti masyarakat muslim negara kita terhadap isu akidah. Perbandingan harus dibuat dengan kuantiti kehadiran pada konsert-konsert, gedung-gedung beli-belah, kehadiran pada acara-acara lain seperti BERSIH dan sebagainya. Juga laman Facebook dan Twitter lain. Kehadiran dan sambutan terhadap HIMPUN ini peratusannya masih sedikit dan jauh lebih kecil.

9. Saya bukan nak mengaitkan bilangan yang kecil ini dengan kegagalan. Bilangan yang kecil ini menunjukkan prestasi sensitiviti masyarakat muslim kita terhadap isu yang pokok iaitu akidah. Bilangan ini juga menunjukkan prestasi kerja dakwah yang dilakukan selama ini oleh sebahagian daripada lebih 2000 NGO yang wujud di negara ini.

10. Prestasi ini memberikan pembacaan buat pemimpin-pemimpin tentang keadaan sebenar masyarakat terhadap isu akidah. Akidah belum menjadi agenda utama masyarakat muslim. Kalau akidah tidak menjadi agenda utama, agaknya apakah agenda utama masyarakat muslim negara ini?

11. Prestasi ini juga sebagai muhasabah terhadap NGO-NGO dakwah dan ahli-ahlinya betapa banyak kerja yang masih belum dilangsaikan. Betapa sensitiviti dan keprihatinan masyarakat pada isu akidah masih berada pada tahap yang rendah. Hal ini juga boleh dijadikan sebagai ukuran sejauh mana kesediaan dan kefahaman masyarakat untuk menerima Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

12. Bagi saya HIMPUN ini boleh diumpamakan sebagai peperiksaan yang dibuat untuk menilai markah kerja selama ini. Markah ini digunakan untuk mengukur diri sekarang berada pada tahap mana dan berapa banyak lagi usaha yang dilakukan untuk mencapai kecemerlangan.

13. HIMPUN sekadar permulaan, dan bukan penyelesaian.

Comments Off on HIMPUN…

Filed under Pendapat

Comments are closed.