Titanic versi nusantara?

Judul novel: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Penulis: Buya Prof. Dr. Hamka Penerbit: Pustaka Dini Cetakan: 2009

Judul novel: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Penulis: Buya Prof. Dr. Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Cetakan: 2009

Cinta dan takdir!

Dua kalimah ini cukup untuk menyimpulkan keseluruhan novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, tulisan ulamak dari Indonesia yang masyhur dengan ketinggian ilmu dan kehebatan beliau dalam seni sastera, Hamka.

Apabila Zainuddin dan Hayati saling mencintai, lalu mereka mengikat janji setia untuk menikah dan tidak akan tunduk pada apa-apa halangan yang mendatang, ketika itu mereka masih memiliki pandangan ideal anak muda terhadap realiti cinta.

“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu-sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.”

Kata-kata ini dilafazkan oleh Hayati saat mereka terpaksa berpisah kerana Zainuddin dinasihatkan oleh keluarga Hayati supaya meninggalkan desa Batipuh selepas hubungan cinta mereka dihidu oleh masyarakat setempat. Keluarga Hayati tidak mahu hubungan itu bakal menjadi racun yang merosakkan nama baik keluarga mereka.

Mereka tidak selesa jika Zainuddin yang menjadi masa depan Hayati kerana statusnya sebagai seorang pendatang di desa Batipuh itu walaupun ayah Zainuddin sebenarnya berasal dari desa itu. Hayati kemudian dinikahkan dengan Aziz, seorang hedonis yang berketurunan dan berharta, kerana pada pandangan keluarganya, keturunan dan hartalah yang dapat menjamin masa depan. Pada masa yang sama, Zainuddin yang turut meminang Hayati ditolak mentah-mentah.

Hayati menurut kehendak keluarga, dan kehendaknya sendiri akhirnya berpihak kepada pandangan tersebut. Cinta semata-mata tidak dapat membahagiakan. Sedangkan, pada asalnya Hayati sudah berjanji, lalu dia melupakannya dan menasihati Zainuddin supaya turut melupakan janji mereka.

Ketika ini barulah Zainuddin memahami realiti cinta. Jika sekadar berangan-angan, cinta akan dipandang indah. Kehidupan penuh tarikan dan warna, yang dipengaruhi takdir. Janji bukan jaminan. Zainuddin merana apabila gagal dalam percintaannya.

Cinta jadi sebaliknya bagi Zainuddin; ‘melemahkan hatinya, membawa putus asa, dan menimbulkan sedu-sedan’. Cinta yang dianggap ‘menghidupkan pengharapan dan menguatkan hati’, rupa-rupanya sebahagian daripada ‘onak dan duri’ dalam kehidupan.

“Jangan takut menghadapi cinta,” kata Zainuddin apabila Hayati gusar pada awal ketika Zainuddin menyeru cintanya. Kegusaran ini berasas. Malapetaka cinta itu sebenarnya sangat dahsyat. Sedahsyat tragedi ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ yang puncanya misteri, berlakunya tiba-tiba.

Akhirnya, apabila diuji dengan kesalahan yang dilakukan oleh kekasih yang dicintai, atau hati diguris pasangan yang disayangi, ketika itu adakah cinta yang dilaung-laungkan mampu untuk memberikan ‘kemaafan’? Di manakah janji setia? Bukankah kesalahan itu sebahagian daripada halangan dan rintangan?

“Tetapi, cita-cita manusia tidak dapat melawan kehendak takdir.” – Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Apabila bercinta kita akan bercita-cita. Cinta itu milik Allah, Allah yang akan mengabulkan cita-cita.

Advertisements

Comments Off on Titanic versi nusantara?

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.