8. Ilmu Pengetahuan

Sayyid Qutb sangat menitikberatkan persoalan ilmu pengetahuan dan Thaqafah. Beliau menyeru umat Islam agar menuntut ilmu keagamaan dan ilmu duniawi kerana hakikat yang sebenarnya semua ilmu adalah milik Allah SWT. Segala ilmu yang telah diterokai oleh umat manusia pada hari ini walaupun tidak berbentuk keagamaan, perlu dikuasai oleh umat umat Islam selagi ia tidak menyalahi syariat Allah SWT. Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa mempelajari ilmu duniawi bukanlah menjadi matlamat utama. Ia hanyalah unsur yang melengkapkan segala urursan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Selain itu, Sayyid Qutb amat menggalakkan umat Islam mempelajari ilmu teknologi moden walaupun terpaksa berguru dengan orang bukan Islam. Ilmu yang telah dipelajari mestilah digunakan untuk kebajikan umat Islam seluruhnya. Lebih-lebih lagi pada zaman yang mutakhir ini, ilmu pengetahuan dan teknologi moden dikuasai oleh golongan bukan Islam. Mereka menggunakan ilmu ini untuk menghancurkan Islam.

Sebagai kesimpulannya, ilmu menjadi syarat utama bagi mereka yang bergiat dalam gerakan dakwah kerana setiap seruan dakwah yang dilakukan hendaklah berdasarkan hujah dan ajaran yang betul. Oleh itu, seorang pendakwah hendaklah terlebih dahulu menjadi seorang rabbani iaitu seorang yang mengerti, mengetahui, berilmu dan mengajarkan ilmu ketuhanan kepada orang ramai.

– Petikan daripada buku Sayyid Qutb: Cetusan Idea Seorang Pejuang, DBP.

Comments Off on 8. Ilmu Pengetahuan

Filed under Islam

Comments are closed.