Legasi penjajahan

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam tulisan beliau yang bertajuk “Kristianisasi: Kebebasan bersuara atau penjajahan” telah mempersoalkan tentang sesuatu yang kita lihat pada permukaannya seperti biasa-biasa sahaja, namun penelitian yang dalam dan pengandaian segala kemungkinan haruslah turut disertakan dalam pemerhatian kita terhadap isu ini.

Islam ialah agama yang sentiasa bertoleransi dengan agama lain. Tiada paksaan untuk menganut agama Islam. Namun, toleransi itu tidaklah harus sampai ke tahap kita terlampau bersangka baik dengan mereka dan membiarkan segala aktiviti mereka.

Setiap insan atau individu yang menganut sesuatu fahaman, pasti punya agenda tersendiri untuk mengukuhkan dan menyebarkan idea dan fahaman mereka. Ustaz Abdullah Zaik dalam artikelnya telah mengajak kita untuk membuka mata terhadap isu kristianisasi yang berlaku di Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa isu ini menjadi sensitif bagi umat Islam bukan sahaja kerana kerosakan akidah yang berlaku di kalangan masyarakat orang Islam – orang Islam yang hanya tinggal pada nama sahaja – tetapi lebih penting daripada itu, kita perlu memahami bahawa usaha tersusun pihak bukan Islam yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa usia Kristianisasi di Malaysia sudah lama bermula sejak awal era penjajahan pada tahun 1511M di mana askar-askar Portugis datang dengan membawa paderi-paderi yang ingin menyebarkan Kristian di tanah air kita.

Penegasan yang bukanlah tanpa asas. Hal ini telah dibuktikan dengan jelas dalam sejarah, cuma tidak dinyatakan dengan jelas dalam sukatan pelajaran yang kita ikuti selama ini atau mana-mana buku sejarah yang lazim kita baca di dalam negara.

Berikut ialah sedikit sedutan tentang peristiwa penaklukan Portugis di Melaka yang saya kutip daripada sebuah artikel yang bertajuk “Story Of Islam In Brunei And Malaysia” di laman Islam Story.

Portugis menuju ke Melaka dengan tujuan untuk menyerangnya setelah mara dari pengkalan mereka di India iaitu Goa, namun begitu mereka gagal dalam serangan ini. Selepas dua tahun, mereka memulakan serangan yang kedua. Sebelum serangan itu, panglima mereka Albuquerque telah menyampaikan kata-kata semangat yang berbunyi:

“Pertama sekali, khidmat ini kita sembahkan kepada Tuhan, dengan mengeluarkan Muslim daripada negeri-negeri ini dan memusnahkan pengikut-pengikut Muhammad itu supaya mereka pupus. Jikalau kita berjaya menyerang Melaka, Muslim akan meninggalkan seluruh kawasan di India. Majoriti daripada Muslim, jika tidak semuanya, sumber pendapatan mereka adalah menerusi perdagangan yang dijalankan di negeri-negeri ini. Muslim menjadi kaya dan mereka memperolehi keuntungan yang besar. Melaka ialah pusat utama mereka. Sebabnya, Melaka ialah pelabuhan tempat mereka memperoleh rempah-ratus dan ubat-ubatan untuk dibawa ke negara mereka. Kalau kita berjaya menghalang mereka dengan menggunakan pasar lama ini (Melaka), mereka akan kehilangan pelabuhan yang sesuai atau tempat di kawasan ini untuk meneruskan perdagangan mereka. Saya jamin kepada anda, kalau kita berjaya merampas Melaka daripada mereka, selepas ini Kaherah akan tumbang dan begitu juga Mekah.”

Selepas mereka merampas Melaka, loceng-loceng gereja di Rom dibunyikan tanda kegembiraan. Portugis menghukum Muslim di sana sesuka hati mereka; mereka menyeksa dan membunuh sebahagian daripada mereka. [Sumber: Mahmoud Shaker: at-Tarîkh al-Islamî (Islamic History), 20/294].

Kesimpulan yang dibuat Louis IX selepas tewas pada perang Salib kelapan di Mansurah dalam Kongres Kristianisasi kali pertama pada tahun 1253M bahawa mata pedang (peperangan dan penjajahan) tidak cukup untuk mengalahkan umat Islam. Legasi penjajahan harus diteruskan dengan menjauhkan umat ini daripada Islam. Kristianisasi ialah antara bentuk legasi itu.

Di dalam sebuah buku yang berjudul “The Christians Missionary Among Muslims” menyebutkan:

“… para Missionary hendaklah memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada penganut baru, begitu juga kepada orang Islam. Hendaklah kita berbuat baik kepada mereka. Pelajarilah Islam untuk menunjukkan persamaan antara Islam dan Kristian. Mulakan perbincangan dengan persamaan ini. Bercakaplah dengan mereka tentang Jesus, tetapi janganlah mempertikaikan kepercayaan mereka. Berikan jawapan yang pantas terutamanya tentang Trinity, malah kalau boleh beritahu dalam bentuk jenaka dan elakkan logik, kerana kita akan gagal menerangkan kepada mereka. Elakkan juga menyentuh tentang nabi Muhammad, beritahu mereka bahawa tuhan yang akan mengiktiraf Muhammad bukannya kita. Gunakan ayat Al-Quran yang menyebutkan tentang kebebasan agama. Jangan cuba untuk mengubah agama mereka, sebaliknya cuba dahulu untuk membuat mereka menyayangi Jesus dan menganggapnya sebagai penyelamat, selepas itu barulah pujuk dan galakkan mereka untuk baptis dan masuk ke dalam agama baru.”

Mereka mempunyai agenda yang tersendiri untuk berkhidmat kepada kepercayaan yang dianuti mereka, sedangkan kita yakin bahawa agama kitalah yang paling benar daripada Allah SWT.

“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” Ali-Imran: 19

Adakah tindakan kita menggambarkan keyakinan itu? Apakah agenda kita untuk agama yang benar ini?

Rujukan:

1. Abdullah Zaik Abdul Rahman. Kristinanisasi: Kebebasan bersuara atau penjajahan http://www.ismaweb.net/v4/2011/08/kristianisasi-kebebasan-bersuara-atau-penjajahan/ 

2. Islam Story. Story of Islam in Brunei and Malaysia http://en.islamstory.com/islam-in-brunei-malaysia.html

3. Hj Nik Azran Muhamed & Hj Mohd Mahadi Hj Isa, 2005. Gerakan Freemasonry, Orientalisme & Kristianisasi Musuh dalam menghancurkan Islam, Kaherah: PMRAM.

Comments Off on Legasi penjajahan

Filed under Islam, Sejarah

Comments are closed.