Sasterawan(g)

Sasterawan atau ‘sasterawang’, dua istilah yang dibangkitkan oleh Cik Puan Azzah dari Akademi Hero yang menjadi pembimbing di Bengkel Penulisan anjuran ISMA-Mesir. Bengkel ini telah diadakan di Scouts Hotel berdekatan dengan Madinat Nasr, Kaherah.

Menurut beliau, penulisan ialah dakwah. Dakwah harus sampai kepada sasarannya iaitu masyarakat. Pengkarya harus menghasilkan karya yang mudah dihadam agar boleh diterima oleh masyarakat, tanpa ayat yang pusing-pusing yang menyukarkan proses pemahaman mereka.

Kalau karya yang dihasilkan itu sukar difahami, hanya pengkarya atau golongan tertentu yang mampu untuk memahami walaupun kononnya dianggap bermutu dan berkualiti tinggi tetapi tidak dibeli dan dibaca. Bolehkah dengan cara ini mesej dakwah akan sampai? Di samping itu, para pengkarya juga memerlukan wang untuk menyara kehidupan, menanggung kos penerbitan dan sebagainya.

‘Sasterawang’, pada kefahaman saya, bolehlah dianggap sebagai berkarya sastera yang mampu menghasilkan wang atau punya unsur tarikan untuk dibeli.

Jika karya itu dibeli, hal ini bermakna karya itu dibaca. Kadar pembelian menandakan kadar penyebaran karya itu kepada masyarakat. Jika kadar pembeliannya tinggi, maka kadar penyebarannya juga tinggi. Andainya ada mesej dakwah dalam karya tersebut, maka mesej itu akan turut tersebar luas.

Sebaliknya, sasterawan ialah orang yang menghasilkan karya sastera dan mengutamakan kualitinya berdasarkan penilaian sarjana sastera. Sebahagian daripada mereka ada yang turut bermatlamat dakwah.

Cuma pada kebiasaannya golongan sasterawan lebih mengutamakan pengiktirafan daripada sarjana sastera sehingga melayakkan mereka untuk mendapat tempat dalam sayembara yang diadakan kerana pengiktirafan ini menzahirkan kualiti karya mereka. Karya-karya sasterawan kebanyakannya belum dapat menembusi masyarakat dengan menyeluruh tetapi tetap mempunyai golongan peminatnya yang tersendiri.

Kedua-duanya punya matlamat yang sama, untuk memandaikan bangsa. ‘Sasterawang’ ingin memandaikan bangsa, sasterawan juga begitu. Hanya cara yang berbeza.

Dalam situasi ini, kelihatan ‘sasterawang’ lebih bijak dalam modus operandinya kerana usaha memandaikan bangsa yang dilakukan lebih berkesan dan sampai melalui penghasilan karya yang dikehendaki bangsa.

Bangsa pula sanggup untuk berhabis wang untuk memenuhi kehendak karya mereka tanpa menyedari yang mereka sedang membeli kepandaian yang diusahakan oleh ‘sasterawang’. Keuntungan yang diperoleh dapat dipusing semula sebagai modal atau dana bagi usaha memandaikan bangsa.

Manakala karya sasterawan tidak mampu dicapai oleh sebahagian bangsa dari sudut pemahaman dan penghayatan. Disebabkan hal ini, bangsa dikritik sebagai malas berfikir dan tidak pandai menilai. Karya-karya sasterawan tidak mampu dijual habis kerana tiada permintaan dan tiada pembeli yang ramai. Hanya segolongan bangsa sahaja yang menghargai karya mereka.

Secara hakikatnya, memang karya sasterawan lebih tinggi nilainya berbanding karya ‘sasterawang’, tetapi tidaklah sampai karya ‘sasterawang’ tidak mempunyai nilai langsung. Karya ‘sasterawang’ mendapat pengiktirafan daripada lebih ramai pembaca berbanding karya sasterawan dan hal inilah sebenarnya yang sangat diinginkan oleh para pengkarya.

Walaupun saya sendiri lebih menggemari karya sasterawan berbanding ‘sasterawang’, secara peribadi saya lihat memang terdapat jurang yang sangat jauh antara masyarakat dan sasterawan. Berapa ramai yang kenal para sasterawan negara atau sasterawan-sasterawan lain?

Dunia sasterawan kadangkala saya lihat bagaikan suatu dunia yang terasing daripada masyarakat yang dikatakan sedang menuju kehancuran. Teguran dan kritikan daripada sasterawan kepada masyarakat melalui karya mereka tidak sampai, bagaikan jeritan roh di alam barzakh kepada manusia yang belum mati di dunia.

Pak Latib (Abdul Latip Talib), seorang penulis novel sejarah terkenal turut berkongsi pengalaman ketika bengkel ini. Beliau menyatakan kekecewaan beliau yang sebelum ini bergiat dalam arena sastera sebagai seorang sasterawan dan pernah menang dalam beberapa sayembara. Menurut beliau salah satu daripada bukunya yang menang telah dicetak sebanyak 3000 naskhah, malangnya sehingga kini belum habis terjual.

Nasib beliau berubah apabila beliau bergiat dengan syarikat penerbitan PTS. Beliau kini dikenali mempunyai ramai pembaca di samping menjadi penerima royalti tertinggi syarikat itu. Walaupun beliau tidak menerima sebarang anugerah, bagi beliau pengiktirafan pembaca lebih utama. Kesan positif yang tercetus melalui pembacaan karya beliau lebih menggembirakan hati.

Saya sendiri apabila mendengar kenyataan Cik Puan Azzah tentang sasterawan dan ‘sasterawang’ ketika bengkel itu berasa sangat tidak berpuas hati. Namun begitu, saya cuba menelan hakikat itu dan memikirkan keadaan masyarakat yang harus diutamakan dalam memilih kaedah yang paling tepat dalam berdakwah.

Dakwah akan sampai apabila kita berusaha untuk bercakap dalam bahasa masyarakat. Kalau benar kita berniat untuk berdakwah, pasti kita tidak akan mengorbankan kefahaman masyarakat semata-mata ingin mendahulukan kepentingan dunia sastera. Meskipun begitu, kita juga tidak harus mengutamakan keuntungan sehingga kepentingan dakwah jadi kabur.

Satu hal yang harus sentiasa ditanam dalam jiwa para sasterawan dan ‘sasterawang’ sebagai peringatan dan panduan ialah dakwah akan tercemar kalau ada unsur lain yang turut mencorak niat. Unsur ini seperti wang atau pengiktirafan boleh memusnahkan pahala amal yang diusahakan dengan penat-lelah. Para pengkarya harus mengikhlaskan usaha mereka dalam berkarya semata-mata kerana Allah.

Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah SAW, lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Bagaimana hukum seseorang yang pergi berperang untuk mencari pahala dan nama yang terpuji, apa yang akan didapatinya?”

Maka Rasulullah SAW (menyatakan kepadanya dengan) bersabda: “Orang itu tidak mendapat sebarang pahala.” Si penanya mengulangi pertanyaannya tiga kali dan Rasulullah SAW pula tetap menjawab: “Orang itu tidak mendapat sebarang pahala.”

Akhirnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla tidak menerima sebarang amal melainkan yang dikerjakan untuk-Nya semata-mata dan dengan tujuan untuk mendapat keredhaan-Nya.” ( Abu Daud dan An-Nasa’i)

Ketika majlis penutup bengkel ini, pengerusi ISMA-Mesir Ustaz Shuhaib Ar-Rumy turut menyampaikan ucapan beliau yang bagi saya sangat bermakna dalam menerapkan kefahaman sebenar dakwah melalui penulisan.

Pertama, beliau menyatakan bahawa kepentingan arena penulisan sama pentingnya dengan bidang dakwah yang lain seperti penceramah, ahli parlimen, dan sebagainya.

Kedua, dalam penulisan juga ada fiqh dakwah seperti mana fiqh dakwah dalam bidang lain seperti tazkirah, khutbah, dan sebagainya. Fiqh atau kefahaman yang harus kita praktik ialah bagaimana kita membumikan idea atau bahan dakwah yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Bagaimana kita memisahkan jurang antara kita sebagai pendakwah dengan masyarakat sebagai sasaran dakwah yang diseru agar mesejnya masuk ke dalam benak bangsa.

Bagi saya, disertai hadis yang diungkapkan sebelum ini, ucapan beliau sangat melegakan persoalan sasterawan dan ‘sasterawang’ kerana persoalan ini hanyalah berkisar di dunia. Persoalan ini terhenti apabila nyawa terputus atau bumi musnah akibat kiamat. Persoalan yang akan sampai ke akhirat nanti ialah persoalan yang lebih utama iaitu dakwah kepada umat manusia. Sejauh mana kita berusaha untuk menyempurnakan tanggungjawab ini sama ada dengan cara berkarya atau cara lain.

Perbincangan sasterawan atau ‘sasterawang’ memang tidak akan habis dan isu tersebut hanyalah isu kaedah yang berbeza. Pilihlah mana-mana yang dirasakan baik, laksanakanlah sebaik mungkin. Masing-masing akan diganjari berdasarkan usaha masing-masing setelah mereka melakukan setakat mana yang terbaik.

Kalau kita ikhlas, hasilnya indah di akhirat nanti. Kalau sebaliknya, biarlah wang royalti setinggi gunung atau pengiktirafan seluas dunia, kesemuanya tiada kegunaan ketika itu.

Advertisements

3 Comments

Filed under Pendapat, Seni & Sastera

3 responses to “Sasterawan(g)

  1. sasterawan – memuaskan diri, sarjana sastera ,

    sasterawang – memuaskan wang, orang lain dan dakwah

    begini kah?

    • azrulazly

      Kalau begitu tak baguslah tetapi tidak semua begitu. Kita yakin mereka ikhlas.

      Sasterawan menghasilkan karya yang berkualiti berdasarkan penilaian sarjana sastera. Selepas itu mereka akan diiktiraf. Mereka ada mesej (dakwah) yang ingin disampaikan tetapi kebanyakan masyarakat belum mampu menerima kerana ketinggian bahasa yang digunakan. Misi dakwah kadangkala akan ditenggelami oleh hasrat untuk menghasilkan karya bermutu dan keinginan pada pengiktirafan.

      ‘Sasterawang’ juga ada mesej dakwah, tetapi kadang-kadang karam dalam usaha mengejar keuntungan atau’bestseller’.

      Keikhlasan akan musnah kalau bercampur dengan tujuan selain Allah. Rujuk hadis.

  2. Saya suka catatan tuan ini. Rasional. Mudah-mudahan kita digolongkan dalam kelompok penulis yang paling disayangi-Nya. Amin. Teruskan perjuangan! 🙂