Menanti kebahagiaan

Tajuk: Waiting

Penulis: Ha Jin

Terbitan: Vintage Books

Bil M/S: 308

Sinopsis dan ulasan

Novel ini menceritakan tentang Lin Kong, seorang doktor tentera yang berkhidmat di sebuah bandar yang bernama Muji, China pada tahun 1960an.

Dia telah menikahi seorang gadis kampung yang bernama Shuyu. Perkahwinan tersebut diaturkan oleh keluarga mereka dan tidak dipersetujui olehnya. Alasannya, dia menganggap perkahwinan mereka tidak akan bahagia kerana tiada cinta antara dia dan bakal isterinya.

Lin menetap di bandar. Dia hanya kembali ke kampung pada musim panas. Walaupun tidak mencintai isterinya, mereka memperoleh seorang anak perempuan yang bernama Hua. Di bandar, Lin mula jatuh cinta pada seorang jururawat yang bernama Manna Wu.

Manna Wu yang pernah gagal dalam percintaan pertamanya, berhasrat untuk membina kebahagian dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Lin Kong dan sanggup setia dan menanti Lin untuk menceraikan isterinya.

Supaya boleh menikahi Manna, Lin Kong berusaha untuk meminta persetujuan isterinya Shuyu untuk diceraikan ketika pulang ke kampung setiap kali pada musim panas. Malangnya, semua usahanya gagal kerana isterinya tidak bersetuju untuk diceraikan.

Berdasarkan undang-undang kerajaan China ketika itu, bigami tidak dibenarkan dan perceraian memerlukan persetujuan pasangan. Hanya selepas lapan belas tahun tidak hidup bersama, barulah pasangan boleh diceraikan dengan tanpa persetujuannya.

Shuyu pula seorang isteri yang sangat baik menyebabkan Lin Kong tidak sampai hati untuk menceraikannya. Hal ini antara sebab yang menggagalkan usahanya setiap kali pulang ke kampung.

Lin Kong dan Manna Wu menanti selama lapan belas tahun untuk bersatu. Penantian ini mereka anggap sebagai kesetiaan cinta. Mereka mempercayai kerana cintalah mereka sanggup untuk menanti.

Ha Jin sebagai penulis telah memfokuskan penantian Lin Kong dan Manna Wu sebagai suatu pengorbanan yang agung. Mereka tidak melakukan apa-apa perbuatan tidak senonoh sepanjang penantian itu. Mereka sangat meyakini cinta mereka.

Mazhab yang dipegang kukuh oleh Lin Kong, bahawa kebahagian mestilah berasaskan cinta sebenarnya sebuah kefahaman teori yang hanya dipegang oleh mereka yang lurus dan memandang dunia pada satu sudut sahaja.

Lin Kong mengetepikan isterinya kerana tidak menepati kehendak cintanya. Pada awal sebelum perkahwinannya dengan Shuyu, ketika dia tidak menyetujui wanita itu sebagai calon isterinya kerana parasnya yang tidak seberapa, ibu dan ayahnya telah menasihatinya tentang kefahaman sebenar kebahagiaan.

Kata ayahnya, “Bolehkah rupa paras yang cantik memberi makan sebuah keluarga?”

Kata ibunya pula, “Wajah yang cantik akan luput dalam beberapa tahun. Personalitinya yang akan kekal. Shuyu akan menjadi pembantu yang baik buatmu.”

Lin Kong akur dan tetap berkahwin dengan Shuyu, tetapi dia tidak melayan Shuyu sebagai seorang isteri dengan baik. Walaupun diperlakukan sebegitu, Shuyu setia, patuh dan cinta akan suaminya. Lin Kong pula mencintai Manna Wu. Dan dia meyakini itulah kebahagiaannya.

Hampir 80% novel ini menceritakan tentang penantian dan percintaan agung Lin Kong dan Manna Wu. Saya sendiri pada mulanya percaya bahawa inilah penantian yang ingin dimaksudkan oleh Ha Jin. Apabila sampai ke hujung novel ini, rupa-rupanya ada sebuah penantian yang lebih agung terbongkar menyebabkan saya sangat berpuas hati dengan penutupan novel ini.

Tambahan, Lin Kong mula memahami bahawa kebahagiaan yang dikejar sebenarnya bukan hanya berpaksikan pada cinta, tetapi ketenangan. Dia membiarkan segala yang dikendongnya berciciran sedangkan perkara yang dikejarnya tidak dapat.

Satu perkara yang Lin Kong pasti, setelah lama menanti untuk bersatu dengan Manna Wu dengan segala cabaran, dugaan dan rintangan sehingga usianya lanjut dan kematian mula mengintai, “between love and peace of mind he would choose the latter. He would prefer a peaceful home”.

_______________________

Komen: Saya beri novel ini tiga bintang kerana kisah yang mudah dan tidak kompleks. Walaupun menarik tetapi kurang mencabar daya intelek. Sesuai untuk diadaptasi kepada filem. Tidak sekuat novel Kalbu yang memaparkan tragedi jiwa yang sangat menusuk emosi. 

Comments Off on Menanti kebahagiaan

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.