Cadangan mudah Ramadan

Buat sahabat-sahabat yang memilih untuk menghabiskan cuti dan Ramadan tahun ini di Mesir (Mansurah dll), jangan ada rasa bosan atau ‘blur’ (tak tahu nak buat apa).

Perkara yang paling mudah ialah kita menyertai aktiviti-aktiviti anjuran mana-mana organisasi pelajar kerana organisasi ini pasti akan membantu kita mengisi masa-masa ramadan anda.

Jika tidak berminat, kita boleh tetapkan target peribadi untuk dicapai pada bulan ini. Target itu sama ada target ibadah atau target perubahan yang ingin dilaksanakan.

Target-target ibadah boleh dirancang dan dilaksanakan dengan berperingkat. Contohnya, ingin menghabiskan bacaan Al-Quran satu hari setengah juzuk untuk sepuluh hari pertama, kemudian sepuluh hari kedua satu hari satu juzuk dan sepuluh hari terakhir satu hari satu juzuk setengah. Dengan cara ini kita mampu untuk menghabiskan satu juzuk untuk bulan ini.

Contoh lain, targetlah untuk melaksanakan ibadah-ibadah fardu dengan sempurna seperti solat, puasa dan zakat. Solat lima waktu sehari semalam di masjid pada awal waktu, puasa dengan tidak meninggalkan makan minum sahaja bahkan semua yang dilarang Allah, dan zakat di bulan Ramadan.

Selain itu, kita boleh membanyak amalan-amalan sunat yang lain. Pada bulan ini, pahala bagi amalan sunat menjadi sama dengan pahala amalan fardu pada bulan-bulan selain Ramadan, manakala pahala bagi amalan fardu pada bulan ini menyamai tujuh puluh kali ganda. Peluang yang sangat rugi untuk dilepaskan. Kita boleh tebus semula segala kekurangan dalam amalan-amalan yang telah kita lakukan dahulu.

Contoh amalan-amalan sunat yang boleh dibanyakkan ialah solat sunat. Solat sunat yang paling mudah ialah solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Contoh lain ialah bersedekah. Rasulullah SAW yang paling pemurah menggandakan amalan ini terutamanya pada bulan Ramadan.

Selain itu, kita juga boleh memberi makan orang yang berpuasa. Pahala bagi orang yang memberi makan berbuka untuk orang yang berpuasa ialah dia akan mendapat pahala yang sama bagi satu orang yang berpuasa. Kalau diri-sendiri telah berpuasa selama tiga puluh hari, ditambah pula dengan bilangan orang yang diberi makannya, andainya sehari seorang bermakna dia telah mendapat pahala puasa sebanyak 60 hari.

Kita juga boleh membanyakkan masa dihabiskan di masjid. Kalau kita tidak mampu untuk memenuhkan masa seluruhnya dengan ibadah khusus, sekadar duduk di masjid dengan niat iktikaf akan membantu kita mendapat ganjaran pahala.

Cadangan lain yang paling mudah ialah kita mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah dan niatkan aktiviti itu sebagai ibadah. Contohnya, membaca buku, tolong kawan-kawan, mengulang kaji pelajaran, memerhatikan alam, sehinggakan kalau mahu tidur pun niatkannya untuk ibadah. Namun begitu, janganlah melebihkan masa untuk tidur kerana masa-masa pada bulan ramadan ini sangat berharga, kalau kita benar-benar mengetahuinya.

Target lain yang boleh kita laksanakan ialah perubahan baru dalam hidup kita. Kita pilih satu perkara yang ingin kita ubah dan pada bulan inilah masa yang sesuai untuk kita melakukannya. Contohnya, kita ingin berhenti merokok. Buatlah perancangan secara berperingkat dan beransur-ansur agar tidak memberi tekanan pada diri-sendiri.

Perancangan ini handaklah dilaksanakan dengan penuh disiplin dan berterusan. Kita juga memerlukan rakan-rakan untuk bantu memantau perkembangan kita dapat konsisten dan komited. Oleh sebab itu, memilih suasana untuk hidup pada bulan ramadan juga menjadi salah satu faktor penting untuk memastikan kita dapat melalui ramadan yang sempurna.

Ramadan kita akan bermakna kalau kita berusaha untuk menghidupkannya dan merancang. Segala usaha yang dilakukan akan lebih bermakna kalau kita dapat teruskan pada bulan-bulan seterusnya selain pada bulan ramadan. Kenapa? Kerana Allah tuhan kita pada bulan-bulan lain juga, bukan pada bulan ramadan sahaja.

Hidupkanlah ramadan, ramadankahlah hidupmu.

Advertisements

Comments Off on Cadangan mudah Ramadan

Filed under Tazkirah

Comments are closed.