Pemergian Tukya

Baru beberapa hari, buku yang saya beli menerusi talian internet sampai ke rumah. Antara judul yang saya pilih ialah ‘Memoir Seorang Guru’. Hari ini, tiba-tiba saya mendapat berita yang menyedihkan. Penulis buku itu telah kembali ke rahmatullah.

Secara peribadi, saya tidak mempunyai hubungan yang rapat dengannya. Hubungan saya dengannya sekadar sebagai seorang pembaca tulisan-tulisan beliau. Saya sering mengikuti tulisan di dalam blognya.

Saya memandang beliau sebagai seorang sasterawan besar, yang disegani ramai tetapi kurang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan. Barangkali kerana beliau menzahirkan pegangan politik beliau.

Namun, bukan itu sahaja. Beliau tidak berpegang dengan membabi buta. Dalam tulisannya, beliau banyak menegur kekurangan dan kepincangan partinya sendiri. Sikap beliau ini turut tidak disenangi oleh sesetengah golongan dalam partinya.

Beliau ialah seorang yang benar dengan ilmunya.

Secara jujur, setiap kali persoalan tentang siapakah yang bakal menerima anugerah Sastera Negara yang seterusnya, pasti antara nama yang akan terlintas dalam kepalaku ialah nama beliau. Beliau adalah antara penggiat aktif bagi sastera Islami di tanah air.

Saya paling suka ulasan beliau tentang teater Islami. Ulasan beliau itu saya kira boleh dijadikan sebagai rujukan umum untuk genre lain juga bagi kriteria Islami untuk sesebuah karya.

“Kita sebenarnya masih jauh untuk masuk ke dalam lengkungan teater Islami. Sebabnya kerana sehingga sekarang kita tidak pernah berbahas mencari dasar dan hala tuju, teater yang bagaimana yang dikatakan teater Islami. Kita masih berbohong tentang teater Islami. Kita masih hanyut ingin menjadi orang atau aktivis budaya tapi tidak mahu menjenguk kepada agama.” – Azizi Hj Abdullah: Kita Masih Berbohong Tentang Teater Islami 

Harapan saya, moga roh Allahyarham Azizi Hj Abdullah dicucuri rahmat Allah. Semoga pemergianmu pada bulan Ramadan ini ialah pemergian yang sejahtera. Kami yang masih melata di muka dunia ini juga akan menurutimu juga suatu hari nanti.

Tidak lama. Hayat dunia ini sekejap sahaja… Akan berlaku juga pertemuan di sana…

Insya Allah, kami akan manfaatkan karya-karyamu yang halal itu, dengan harapan akan sampai pahalanya kepadamu di sana…

Comments Off on Pemergian Tukya

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.