Tukang cerita atau pengarang?

Oleh Hafizah Iszahanid

hafiza@bharian.com.my

2011/10/25 (Berita Harian)

Gaya penulisan dalam autobiografi jadi polemik Seminar Pemikiran SN Abdullah Hussain

TUKANG cerita atau pengarang? Persoalan itu menghangatkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz menyifatkan SN itu menepati ciri tukang cerita berbanding pengarang berdasarkan autobiografi Perjalanan Mencari Diri terbitan 2004.

Abdullah adalah pengarang yang hebat dan sangat terserlah dalam adi karyanya, Interlok. Ketika menjadi penterjemah juga, pembacaan buku dari Barat memberi kesan kepada gaya penulisan beliau seperti Interlok yang memiliki kesan The Old Man and The Sea karya Ernest Hemingway. – Dr Rosnah Baharuddin, Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) “Abdullah tidak melihat ke dalam dirinya seperti yang sepatutnya dituntut dalam autobiografi, sebaliknya beliau lebih banyak bercerita tentang tempat dan peristiwa yang dialaminya.

“Jika kita mengambil kira definisi Phillipe Lejeune (1982), autobiografi ialah prosa naratif tentang kehidupan dan perkembangan personalitinya yang turut menyingkap aspek dalaman atau psikologi serta rohani pengarang atau pengembaraan pengarang ke dalam dirinya sendiri,” katanya.

Justeru Prof Sohaimi ketika membentangkan kertas kerjanya ‘Perjalanan Mencari Diri: Abdullah Hussain Seorang Tukang Cerita’ menyifatkan buku Perjalanan Mencari Diri sebagai karya autobiografi yang gagal.

“Buku ini sebenarnya memoir bukan autobiografi seperti yang tercetak di kulit buku kerana secara jelas, Abdullah bertindak sebagai tukang cerita dalam konteks buku ini.

“Ia tidak menghairankan kerana Abdullah dengan latar kewartawanan sudah terbiasa melaporkan dan tidak kritis seperti kebanyakan wartawan lain sehingga terlalu banyak maklumat dihimpun dalam buku ini dan miskin unsur sastera,” katanya.

Dalam konteks Perjalanan Mencari Diri, jelas Sohaimi, tajuknya saja sudah mengelirukan meskipun tidak dinafikan peribadi Abdullah sebagai pengarang dalam buku-buku lain mungkin lebih menyerlah.

Bagaimanapun, pendapat Sohaimi disanggah oleh mantan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rosnah Baharuddin; Penerima Anugerah Penulisan SEA 1994, Prof Dr A Wahab Ali dan penulis, Razali Endun yang menganggap penulis cerita sama dengan pengarang secara dasarnya.

Malah Prof Dr A Wahab mendedahkan beliau menyenangi karya Abdullah kerana kebijaksanaan sasterawan itu bercerita, sekali gus menjadikan ciri itu sebagai sifat yang perlu ada pada pengarang.

Sementara itu, Dr Rosnah pula mempertahankan Perjalanan Mencari Diri sebagai autobiografi berdasarkan definisi penyair Robert Southey (1809) dan SN Prof Dr Muhammad Salleh.

“Autobiografi adalah rakaman pengalaman kehidupan pengarang itu sendiri yang didasari kepada ingatannya dan secara ringkas, penulis autobiografi pula menjadi individu yang penting, berjasa serta memberi sumbangan besar dalam bidang mereka,” katanya.

Dr Rosnah ketika menyorot Autobiografi SN Abdullah Hussain: Perjalanan Panjang Seorang Pengarang Melayu berkata, Abdullah dalam Perjalanan Mencari Diri menepati definisi pengarang dan bukan hanya bertindak sebagai tukang cerita.

“Malah, empat autobiografi Abdullah mengabsahkan perjalanan hidupnya sebagai pengarang sangat panjang dan luas kerana beliau bukan hanya sebagai novelis, bahkan juga cerpenis, penterjemah, aktivis seni dan birokat budaya.

“Abdullah adalah pengarang yang hebat dan sangat terserlah dalam adi karyanya, Interlok. Ketika menjadi penterjemah juga, pembacaan buku dari Barat memberi kesan kepada gaya penulisan beliau seperti Interlok yang memiliki kesan The Old Man and The Sea karya Ernest Hemingway,” katanya.

Prof Sohaimi ketika mempertahankan hujahnya mengakui Abdullah menulis tiga autobiografi lain, iaitu Perjalanan Mencari Bahasa diterbitkan pada 2001; Perjalanan Mencari Hikmah (2003) dan Sebuah Perjalanan (2005), tetapi kandungan Perjalanan Mencari Diri tidak memperlihatkan Abdullah mencari diri atau memasuki psikologi diri, sebaliknya lebih banyak bercerita tentang kenang-kenangan dan hal di luar diri.

“Abdullah gagal menarik pembabitan pembaca dalam proses pembacaan, manakala sebagai tukang cerita pula, sisi kewartawanan lebih menyerlah berbanding sebagai pengarang dan sasterawan,” katanya.

Prof Sohaimi membandingkan karya Abdullah dengan autobiografi Perjalanan Ku Sejauh Ini tulisan SN Prof Emeritus Shahnon Ahmad yang cukup sifatnya sebagai autobiografi kerana penulisan dari dalam diri dan rakaman psikologi berbanding catatan pengembaraannya.

Bagaimanapun, pertikaian itu lebih menarik apabila anak lelaki Abdullah yang juga novelis, Ahmad Patria memberitahu khalayak pada tahun awal usia kepengarangannya, Abdullah mendedahkan kewujudan dua golongan penulis, iaitu tukang cerita dan pengarang yang dibezakan berdasarkan gaya bahasa dan teknik penceritaan.

“Gaya kewartawanan mempengaruhi bapa sehingga tidak hairanlah beliau mengambil masa tiga perenggan saja untuk menceritakan matahari naik berbanding saya yang mengambil sehingga 10 halaman kerana saya lebih gemarkan bahasa yang puitis.

“Bapa sukakan yang jelas, ringkas dan mudah untuk pembaca memahaminya kerana beliau sedar dan tahu kedudukannya sebagai tukang cerita tetapi tidak pernah mengisytiharkannya saja,” katanya.

Catatan: Saya pernah menulis dua artikel tentang SN Abdullah Hussain. Saya ada memetik dalam salah satu artikel itu kata-kata beliau daripada autobiografinya (Perjalanan Mencari Diri)  yang berbunyi, “Saya hanya seorang tukang cerita bukan sasterawan”.

Anda boleh membaca dua artikel tersebut di sini:

1. Interlok https://azrulazly.wordpress.com/2011/01/10/interlok/
2. Sebuah pernghormatan http://beritahusedikit.wordpress.com/2011/01/17/sebuah-penghormatan/ 

Advertisements

Comments Off on Tukang cerita atau pengarang?

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.