Meneroka Kalbu

Judul Buku: Kalbu

Penulis: Soseki Natsume

Penterjemah: Thaiyibah Sulaiman

Terbitan: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Bil m/s: 351

Kalbu(Kokoro) karya Soseki Natsume, seorang penulis tersohor di Jepun seolah-olah sedang menghidangkan sekeping hati manusia yang diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Apabila membaca Kalbu, seumpama kita sedang meneroka konflik dan suasana yang berlaku dalam hati seorang manusia.

Soseki Natsume sangat berjaya dalam memperincikan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kalbu seorang insan. Perinciannya dalam Kalbu adalah sangat benar dan realiti. Beliau telah melukis sifat-sifat manusia dengan gambaran realisme yang kita sendiri tidak akan mampu untuk menafikan bahawa apa-apa yang disebutkan oleh beliau adalah benar menggambarkan peribadi kita sebagai insan.

Secara umumnya, Kalbu menceritakan tentang pertemuan seorang pelajar muda dengan seorang lelaki yang lebih tua (sensei) lalu mereka menjadi kenalan yang rapat. Sensei ialah seorang yang misteri dan kesunyian serta menganggap dirinya telah mati. Sensei sedang menderita kerana sejarah lampau yang hanya diketahui oleh dirinya dan menyebabkan dia membenci manusia termasuk dirinya sendiri.

Pelajar itu sangat rapat dengan sensei tetapi masih mengenali sensei secara permukaan, dia tidak mampu meneroka jiwa sensei itu. Dia tertanya-tanya apakah yang menyebabkan sensei bersikap sedemikian. Dalam perkenalan mereka, secara tak langsung sensei mengajarnya panduan dalam kehidupannya, dan pengajarannya itu tidak bertepatan dengan jiwa pelajar itu. Namun, dia mendakwa pengajarannya ialah berdasarkan pengalamannya dan hal ini menyebabkan pelajar itu mendesak agar sensei membongkar rahsianya yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali dirinya dan Tuhan.

Novel ini sangat menarik walaupun agak lambat dalam penceritaannya dan agak berat untuk dihadam., tetapi berbaloi untuk dikhatamkan kerana sarat dengan falsafah dan pengajaran. Namun, jika anda sukakan novel yang tidak kompleks dan memenuhi selera pengakhiran yang gembira, ini bukanlah novelnya.

Gambar: Soseki Natsume (http://www.bestwisewords.com)

Advertisements

Comments Off on Meneroka Kalbu

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.