Interlok

Isu yang menarik minat saya baru-baru ini ialah karya sasterawan kesayangan saya yang dijerumuskan ke dalam kancah politik Malaysia yang kelam-kabut.

Karya tersebut ialah novel Interlok tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain. Karya ini telah dituduh oleh segelintir kaum India sebagai menghina kaum mereka.

Saya tidak berani untuk komen dengan lebih lanjut tentang isu ini. Namun, sedikit kerisauan wujud dalam diri apabila melihat betapa runcingnya situasi di Malaysia kerana hinggakan sekecil-kecil perkara pun boleh dijadikan isu yang besar.

Tidak tahulah apakah lagi yang bakal mendatang pada masa hadapan nanti. Apakah lagi isu yang bakal dimainkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan politik masing-masing. Dan apakah kesudahan yang bakal didepani oleh rakyat ini dalam keadaan sebegini?

Saya sendiri masih belum memiliki dan membaca novel ini, dan sedang berusaha untuk mendapatkannya. Namun, berdasarkan sebuah artikel yang saya baca, penceritaan Datuk Abdullah di dalam novel itu bukanlah untuk penghinaan, tetapi realiti sejarah yang diungkap semula untuk dibandingkan dengan keadaan sekarang yang lebih baik daripada sebelumnya.

Secara jelasnya, sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, kaum India di negara mereka telah dicengkam oleh sistem kasta. Apabila menetap di negara ini, mereka tidak lagi dicengkam oleh sistem itu dan dapat hidup bersama-sama pelbagai lapisan rakyat di negara ini sebagai seorang manusia.

Dengan mengenang semula sejarah lalu dan membezakannya dengan nikmat yang dimiliki kini, hasil yang diharapkan daripada pembezaan ini ialah sebentuk jiwa yang penuh dengan rasa syukur dan terima kasih serta menghargai segala yang dinikmati.

Malangnya apabila maksud sebenar disalah-tafsirkan, terbentuk jiwa yang marah tidak tentu fasal. Dan saya turut kecewa apabila kemarahan itu disusuli pula dengan tindakan membabi-buta iaitu dengan mengadakan perhimpunan pembakaran novel itu.

Kekecewaan ini bukan kerana Datuk Abdullah Hussain ialah sasterawan kegemaran saya. Kekecewaan ini adalah kerana kejahilan dalam bertindak akibat tidak mendalami isi sebenar sesebuah karya sastera. Malahan, amat menyedihkan apabila perhimpunan ini turut dihadiri oleh salah seorang ahli parlimen Melayu yang mendakwa hanyalah bertujuan untuk menyatakan kebersamaan, bukan persetujuan.

Memang politik Malaysia sangat kelam-kabut. Segala benda ingin dijadikan isu, dan sehingga ada yang sanggup/terpaksa meleburkan identiti untuk mengambil hati satu golongan.

Pada suatu sudut, saya semakin mengagumi kewibawaan Datuk Abdullah Hussain kerana sepanjang hayatnya yang penuh dengan kerendahan hati, beliau telah banyak berjasa kepada dunia sastera sama ada melalui penglibatannya secara langsung atau melalui karya-karyanya.

Pernah beliau menulis di dalam autobiografinya yang bertajuk Perjalanan Mencari Diri, “Saya hanya seorang tukang cerita bukan sasterawan”.

Peristiwa ini sebenarnya ialah suatu pengiktirafan kepada kewibawaan beliau sebagai seorang sasterawan yang cemerlang. Karya beliau berjaya memberi kesan yang membuka mata masyarakat akan kekuasaan sebenar penulisan. Penulisan bukan sahaja dapat menyampaikan fikiran, malah dapat juga menyatukan fikiran serta mewujudkan pergerakan.

Pada saat ini, Datuk Abdullah Hussain yang sedang uzur dalam menanti saat-saat pasti, beliau menyaksikan karyanya masih aktif dan sedang diratah oleh kemelut politik negara ini yang tanpa hala  dalam keadaan rakyatnya dengan penuh kejahilan menuruti langkah mereka yang mengaku sedang memimpin.

Masyarakat hanya memerhatikan karyanya daripada sudut kontroversi dengan pemerhatian yang kosong. Tujuan sebenar di sebalik kata-kata dan peristiwa yang diatur dalam karyanya iaitu kefahaman, langsung tidak mendapat perhatian.

Beliau menyaksikan semua itu pada saat ini, dan beliau masih mampu melontarkan senyuman ikhlasnya, seperti selalu. Namun, siapa yang mampu menahan rasa dukacita andai hasil tangan penat-lelah sendiri yang disertai niat murni dipandang serong dan tidak diberikan penghormatan yang selayaknya.

Saya akhiri catatan ini dengan suatu petikan daripada novel beliau yang bertajuk Imam yang pernah memenangi Anugerah Novel Nasional, “…Nafsu manusia terlalu rakus dengan perkara-perkara yang batil sehingga dengan demikian membuat kita semakin jauh daripada berfikiran waras.”

Doa saya, moga segala amal beliau diterima Allah SWT dan dianugerahi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Gambar SN Datuk Abdullah Hussain bersama-sama penulis Nazmi Yaakub

Berikut ialah petikan temubual bersama Datuk Abdullah Hussain oleh wartawan Utusan Malaysia (11 Januari 2011):

Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?

ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.

Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?

ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria’. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?

ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.

Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?

ABDULLAH: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.

Datuk masih menulis?

ABDULLAH: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.

Advertisements

1 Comment

Filed under Seni & Sastera

One response to “Interlok

  1. Tulisan yang baik dan kemas. Update dgn isu terkini, bagus, teruskan menulis. 🙂