Duhai ayahku!

Tulisan Syed Qutb di dalam buku beliau yang bertajuk Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran yang ditujukan kepada ayah beliau:

“Duhai ayahku! Aku tujukan tulisanku ini untuk rohmu.

Aku masih seorang anak-anak apabila kau semaikan rasa takut kepada Hari Pembalasan dalam perasaanku. Tidak pernah engkau mengherdikku tetapi engkau mengarahkan hidupmu di depanku, seolah-olah perhitungan Hari Penentuan telah meresap dalam jiwamu. Engkau mengingatinya sepanjang masa, di lidahmu, di hatimu, dan di dalam rohmu. Di samping melaksanakan tugas-tugas dan hak-hak ke atas orang lain, engkau pamerkan keterbukaan hatimu dan sifat pemaafmu. Engkau bertindak demikian kerana pertimbangan sebenar pada hari kebangkitan. Engkau memaafkan kesalahan orang lain walaupun engkau boleh bertindak serupa dengan mereka kerana engkau menganggapkan bertindak serupa boleh mengurangi kemulianmu pada Hari Pembalasan. Kadangkala engkau memberikan kepada orang lain sesuatu yang engkau sendiri perlukan dan engkau menyebutkan bahawa engkau memperoleh ganjarannya di akhirat nanti.

Wajahmu yang terbayang dalam ingatanku. Apabila kita selesai makan, engkau akan membacakan ayat-ayat Al-Quran dan menyedekahkannya untuk kedua-dua ibu bapa. Kami anak-anak kecil akan turut sama membaca ayat-ayat Al-Quran yang dipetik di sana-sini, yang belum kami hafaz lagi.”

Dipetik daripada biografi beliau, terbitan DBP.

Advertisements

Comments Off on Duhai ayahku!

Filed under Sejarah, Seni & Sastera

Comments are closed.