Persepsi terhadap seni

Menonton drama, yang dipilih dengan baik, dan ketika menonton kita menjaga diri dengan baik, perkara ini saya fikir tidak salah.

Pertamanya, pembikin drama atau apa-apa karya seni pasti punya mesej yang ingin disampaikan. Kedua, pasti mereka juga punya tujuan yang ingin dicapai melalui karya yang dihasilkan, sama ada untuk diri-sendiri atau untuk penonton. Oleh sebab itu, kita sebagai penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang harus bertindak dengan bijak apabila menilai sesuatu karya seni.

Karya seni ialah sesuatu yang subjektif. Persepsi yang diberikan oleh setiap individu pasti berbeza. Begitu juga dengan penerimaan oleh setiap individu, ada juga perbezaannya.

Contohnya, ada individu yang menganggap bahawa sesuatu karya itu sebagai sampah. Ada pula individu lain yang menganggapnya sebagai mahakarya. Ada sesetengahnya pula boleh menerima karya seni itu sebagai suatu yang dibolehkan, ada pula yang menolaknya terus dan mengatakannya sebagai haram.

Semuanya bergantung kepada pegangan masing-masing. Asalkan pegangan itu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dengan kefahaman yang sahih dan tidak melampau-lampau. Janganlah sampai mengetepikan hikmah yang tercicir di sepanjang perjalanan dunia ini sehingga umat ini mundur.

Cuma masalah apabila kita berinteraksi dengan karya seni ini ialah kewujudan tarikan yang kuat antara seni dan hati. Sebabnya, hati sememangnya habitat bagi seni. Interaksi yang melampau dengan karya itu menyebabkan kadangkala kita terlalai dan terleka akan kewujudan diri dan alam sekeliling.

Hal inilah yang membahayakan. Kadangkala, unsur-unsur yang diterapkan oleh karya itu sangat mengesani kehidupan dan membentuk corak pemikiran yang baru. Kalau unsur itu baik, hal ini tidaklah menjadi sesuatu yang merisaukan. Cuma, kalau unsur itu tidak baik, maka sangat dikhuatiri akan mewujudkan kesan yang tidak baik.

Sebab itu, ada sesetengah orang menutup terus jalan ke dunia seni ini. Tambahan pula apabila sememangnya kini dunia yang menghasilkan karya seni ini telah teruk tercemar sejak lama dahulu.

Oleh kerana itu, pencinta seni harus menyempurnakan kefahamannya dalam Islam dan membaiki dirinya dalam menjalani kehidupan beragama. Perkara ini kemudiannya hendaklah diserapkan ke dalam dunia seni yang dicintainya. Mudah-mudahan dia mampu membersihkan dunia ini, dan akhirnya karya yang terhasil ialah karya yang suci dan menyucikan.

Advertisements

Comments Off on Persepsi terhadap seni

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.