Di Sebalik Salina

Tajuk Novel: Salina (Edisi Ringkas)
Penulis: A. Samad Said
Penerbit: DBP
Cetakan kedua 2002
Bilangan m/s: 426

Sebelum membaca novel ini, saya diberi tanggapan bahawa novel ini ialah kisah seorang wanita yang menjadi pelacur. Namun, apabila saya selesai membacanya, novel ini sebenarnya lebih daripada itu.

Saya sangat kagum dengan kebolehan Sasterawan Negara A. Samad Said dalam menyampaikan mesej-mesej beliau dengan merangkumkan semua cabangnya dalam sebuah kisah yang dilihat sekali imbas bagaikan sebuah kisah tragedi biasa.

Apabila ditilik dan dianalisis dengan teliti, terdapat berlapis-lapis mesej yang diselitkan oleh beliau di celah-celah plot yang tersusun rapi. Mesej-mesej yang beliau ingin sampaikan sangatlah berguna untuk generasi masa kini. Setiap watak mewakili insan yang sebenar berlegar di masyarakat dan membawa mesej yang tersendiri.

Walaupun kisah watak Salina seimbang dengan watak lain, namun namanya dipilih sebagai tajuk novel ini. Saya tertanya-tanya sebabnya dan pada fikiran saya barangkali Salina mewakili kebanyakan watak-watak wanita lain yang senasib dengannya yang banyak turut diceritakan dalam novel ini seperti watak Nahidah dan Zarina.

Namun, adakah SN A. Samad Said sekadar ingin menyampaikan kisah nasib wanita yang malang dicengkam kemiskinan dan ditindas golongan lelaki sehingga terjebak ke dunia pelayan dan pelacuran? Apakah sebenarnya yang diselitkan oleh beliau dalam novel ini?

Penjajahan dan kemerdekaan

Kalau diteliti pada latar masa novel ini, kisahnya berlaku pada zaman pasca peperangan dunia kedua sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Barangkali, watak Salina sebenarnya ialah mewakili Tanah Melayu yang telah dinoda oleh penjajah. Abdul Fakar pula umpama penjajah yang menikmati hasil Tanah Melayu dan apabila hasilnya sudah disedut semuanya sampai habis, lalu dia bosan namun dia masih tidak mahu melepaskan Salina.

Namun, Salina tak mahu meninggalkan Abdul Fakar walaupun Abdul fakar telah menghisap habis segala manisannya. Dia setia dengan cintanya yang tak berbalas. Walaupun dia dinasihati oleh orang lain yang sedar dia masih sanggup hidup bersama-sama Abdul Fakar dan turut menyaranya dengan hasil menjual diri. Madu Salina turut dinikmati oleh penjajah-penjajah lain.

Akhirnya, Salina sedar dan memerdekakan dirinya daripada Abdul Fakar. Watak Salina mungkin menggambarkan insan yang tidak mahu merdeka daripada British dan akhirnya sedar akan pentingnya kemerdekaan.

Abdul Fakar pula ialah simbol penjajah yang hanya tahu menawan dan menikmati hasil negara yang dijajahnya. Dia tidak pernah puas, dan sentiasa mencari wanita-wanita lain hatta gadis yang suci seperti Nahidah turut menjadi sasarannya.

Dakwah dan masyarakat yang rosak

Masyarakat yang hidup di Kampung Kambing digambarkan oleh SN A. Samad Said sangat teruk. Sudahlah dicengkam kemiskinan, akhlak mereka turut berada pada tahap yang paling bawah. Hanya ada segelintir manusia yang agak baik seperti Haji Karman yang tidak jemu-jemu menasihati warga Kampung Kambing sehingga dia dikatakan gila.

Haji Karman seoranglah yang ambil berat akan keadaan masyarakat Kampung Kambing dalam hal ehwal agama. Beliau sedar akan keadaan mereka.

Menurut beliau, orang-orang di Kampung Kambing tak ikut ajaran agama Islam. Mereka hanya Islam pada nama. Masyarakat kampung itu menurutnya tidak solat, tidak berpuasa, tidak berzakat malah dikhuatirinya ada yang tidak tahu mengucap dan tak mahu menunaikan haji.

Saya tidak pasti, adakah gambaran ini ialah gambaran setempat ataupun sememangnya gambaran ini ialah rupa wajah seluruh masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Apa yang nyata, zaman itu memang zaman umat islam pada tahap yang paling bawah dari segi akhlak dan pengamalan agama. Kejatuhan demi kejatuhan berpunca daripada keadaan umat islam yang sangat lemah ketika itu.

Bermula dengan kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah pada 1924 lalu negara-negara islam terjajah. Kemuncak kejatuhan ialah apabila negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948. Pada tahun itu juga Ikhwanul Muslimin baru diasaskan oleh Hassan Al-Banna di Mesir. Umat islam ketika itu sangat lemah kerana mereka telah jahil terhadap islam sendiri. Dakwah ada dilakukan tetapi tidak kuat dan berorganisasi yang tersusun.

Contohnya, Haji Karman yang tidak jemu-jemu menasihati masyarakat Kampung Kambing yang bergelumang dengan noda dan kekotoran seperti pergaulan bebas, minum arak, pelacuran, institusi keluarga yang rosak dan mengabaikan suruhan agama. Dia tidak menyusun dengan baik dakwahnya menyebabkan dakwahnya kurang memberi kesan kepada masyarakat.

Banyak lagi mesej yang sememangnya tidak cukup ditulis dalam satu artikel. Faedah-faedahnya hanya akan diperoleh melalui pembacaan sendiri dan kajian yang mendalam. Kesimpulannya, karya ini sangat genius dan meletakkan SN A. Samad Said pada tahap tersendiri sebagai salah seorang sasterawan dan pemikir bangsa.

Advertisements

Comments Off on Di Sebalik Salina

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.