Perjuangan untuk mengubah nasib dalam Ma Yan


Judul: Ma Yan

Penulis: Sanie B. Kuncoro

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd

Harga: RM 18

Bil. m/s: 181

Novel ini ialah adaptasi karya asal iaitu The Diary Of Ma Yan yang disunting oleh Pierre Haski, seorang jurnalis di sebuah akhbar Perancis berdasarkan diari sebenar seorang gadis cina muslim yang bernama Ma Yan. Apabila membaca tulisan Sanie B. Kuncoro ini, kisah Ma Yan sangat menyayat hati tetapi belum cukup untuk mengalirkan air mata.

Ma Yan yang hidup bersama keluarganya yang miskin dan di perkampungan yang terasing berjuang untuk mengubah nasibnya dan keluarganya dengan pendidikan dan menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Namun, perjuangan ini menjadi sukar kerana kemiskinan itu sendiri ialah halangan baginya untuk memperoleh pendidikan yang baik.

Gambaran kemiskinan ditunjukkan apabila Ma Yan terpaksa berlapar selama dua minggu semata-mata untuk membeli pen yang berharga dua yuan. Dia dan adik-adiknya gigih menuntut ilmu sehingga sanggup berjalan selama lima jam untuk sampai ke sekolah.

Ibunya sendiri sebelum itu hanya bersekolah selama setahun dan kekal buta huruf kerana tidak mampu meneruskan persekolahan, bukan sahaja kerana miskin tetapi kerana dia seorang wanita. Adat tradisi menganggap wanita tidak perlukan pendidikan tinggi kerana akhirnya mereka tetap  akan menjadi seorang isteri.

Ibunya dikahwinkan dengan ayahnya dengan penuh harapan akan berubah nasib, namun sebenarnya perkahwinan bukanlah pengakhiran sebuah penderitaan, tetapi sebuah peralihan kepada sebuah kehidupan baru. Kehidupan mereka sekeluarga terus dicengkam kemiskinan.

Mereka tidak mahu adat dan kemiskinan itu diwarisi oleh anak-anak mereka lalu ibu dan ayah Ma Yan berkorban darah dan keringat demi memastikan dia dan adik-adiknya dapat meneruskan pendidikan.

Ibu Ma Yan yang menderita penyakit sanggup merentas padang pasir sejauh 400 kilometer daripada kampung mererka untuk ke Ning Xia untuk menuai ‘fa cai’ bagi memperoleh wang biaya sekolahnya.

Bukan mereka sekeluarga sahaja yang menderita kehidupan seperti ini, terdapat ramai lagi keluarga yang mengalami nasib yang sama di perkampungan ini.

Perubahan yang diinginkan hampir mustahil kerana mereka terlalu miskin untuk menentang kemiskinan. Hanyalah keajaiban dan takdir, serta keyakinan seorang ibu yang mampu mengubah nasib mereka.

Ekspedisi Pierre Haski dan rakan-rakannya ke kampung Zhangjiashu itu serta usaha ibunya mengejar jip mereka merupakan permulaan sebuah perubahan.

Kini, kisahnya diketahui dunia dan menyebabkan 250 kanak-kanak China lain berpeluang memperoleh pendidikan. Kampungnya pula telah dibekalkan keperluan asas seperti bekalan air bersih dan kemudahan pertanian.

Novel ini memberi kesedaran akan penderitaan saudara kita di tempat lain dan menyebabkan timbul rasa syukur atas nikmat yang dimiliki. Selain itu, novel ini turut mendorong agar kita mempunyai sensitiviti untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik. Tidak ketinggalan, pembaca turut disuntik dengan rasa penghargaan kepada pengorbanan ibu bapa.

Advertisements

Comments Off on Perjuangan untuk mengubah nasib dalam Ma Yan

Filed under Seni & Sastera

Comments are closed.